Nak Mula Menulis Tak Perlu Malu Atau Tunggu Jadi Bagus

bukharimalek

Kalau perasan, aku baru lepas pindah dari Wordpress tukar ke Blogspot semula. Sebab bila fikir balik aku bukan buat apa pun dalam blog yang dulu. Kalau setakat tulis artikel lebih elok aku back to blogger.com. Jimat sikit, lagi pun hosting yang ada sekarang ni aku memang khaskan untuk HaiCetak.com.

Biasanya kalau aku tukar template baru, aku akan tunjuk dekat kawan-kawan suruh dia orang semak sama ada selesa atau tak untuk baca. Walaupun majoriti survey yang aku buat adalah pada orang awam yang tak tahu apa-apa pasal website.

Bukan apa, aku agak mementingkan kosmetik sesebuah laman web. Dan seperti biasa, setiap kali aku tunjuk blog picisan aku ini, akan ada ramai kawan-kawan yang minat juga nak ada blog tetapi mempunyai masalah iaitu rasa diri tak padai nak menulis dan malu.

Bagi aku mudah saja, kalau kau pandai tulis status di Facebook tu dah kira kau pandai menulis. Soal malu tu tolak tepi sebab bukan semua yang baca blog kenal kau secara personal. Pembaca ini biasanya bila dah baca artikel dia bukan nak ambil tahu pun siapa yang menulis. Kalau ada pun tak ramai.

Kalau nak goreng panjang-panjang pasal penulisan aku bukan orang yang bagus. Dalam artikel lepas aku ada kata yang aku bukan seorang penulis yang baik dan masih lagi di dalam proses belajar. Mudahnya, bila kita sedar diri kita tak akan rasa kecundang bila kena kecam. Kah!

Buat salah itu normal, semakin banyak buat salah semakin banyak perkara baru yang dapat kita belajar. Ada satu quote aku suka, bunyinya lebih kurang macam ini "Jangan takut untuk mencuba, jika berhasil kamu akan bahagia, tetapi jika gagal kamu akan jadi lebih bijaksana"

Aku anggap menulis di blog sendiri ini pun sebagai satu latihan untuk jadi lebih baik.

Belajar Dari Kesilapan

Semasa penglibatan aku dalam era penulisan secara serius, banyak kesalahan yang aku buat. Penulisan berterabur, huruf kecil besar semua tak jaga. Pendek kata asal orang boleh baca aku kira ok. Tapi dalam The Vocket semua tu aku belajar perlahan-lahan. Nasib rakan kerja semua yang bagus-bagus belaka. Dan sampai sekarang pun sebenarnya masih lagi menuntut.

Oleh kerana konsep penulisan aku bukan ikut format rasmi, dalam masa yang sama tidak terlalu 'pasar', jadi aku cuba susun ayat yang agak ringan dan mudah dihadam pembaca. Erti kata lain bukan bahasa seperti yang anda baca dalam buku atau surat khabar. Aku rasa dah memang era zaman sekarang bahasa-bahasa ini lebih dekat dengan generasi kini.

Akhir kata, kalau nak mula menulis kau tak perlu tunggu jadi bagus. Jangan malu, buat saja. Kalau malu juga jadi anonymous. Zaman sekarang banyak cara nak mencuba, selain buat blog yang percuma di blogger.com, kau cuba buat satu artikel dan hantar ke mana-mana laman web yang sedia diterbitkan. Contohnya The Vocket, boleh rujuk halaman hantar artikel.

Aku kongsi sekali lagi antara 3 tool yang mungkin boleh membantu.

Cit-Cat: Yang ini, selain daripada berguna sebagai alat penterjemahan, aku guna untuk cari ayat sinonim. Menurut apa yang aku belajar, cuba elak guna ayat yang sama berulang kali atau gantikan dengan perkataan sinonim yang lain.

PRPM: Pusat Rujukan Persuratan Malaysia, ini biasanya aku guna untuk semak ejaan atau cari maksud perkataan. Contohnya bila terdapat kekeliruan antara makna beritahu dan bagitahu.

Number To Words: Aku lemah sikit bab matematik, kalau tengok nombor banyak-banyak tu memang tak reti nak sebut. Jadi ini antara alat yang sangat membantu kalau kau juga alami masalah yang sama.
Powered by Blogger.