Travel Solo, Berpasangan Atau Berkumpulan, Yang Mana Lebih Seronok?

bukharimalek

Ini antara topik yang bagi aku sangat tak menarik. Bila mula terjebak bergaul dengan geng-geng travel, nanti kau mesti akan dengar kalau tak banyak sikit provokasi tentang  dunia travel. Aku bagi satu contoh perbandingan yang paling popular:

Kau masih belum sempurna nak digelar traveller/backpackers kalau:

1. Belum pernah pergi Thailand
2. Belum pernah naik Trans Siberian
3. Belum cukup pusing 7 benua
4. Belum habis pusing 1 Malaysia
5. Belum pernah travel solo dan lain-lain hal yang tak seronok di telinga.

Bagi aku, tak perlu layan kelompok tak profesional macam ni. Kau buatlah apa saja yang kau suka, tak ada orang boleh hukum cara kau. Kau yang nak travel, kau punya suka. Bukan guna duit orang lain pun.

Dalam isu travel solo, berdua, bertiga atau berkumpulan, semua ada kelebihan masing-masing. Perkara ini pun subjektif. Bergantung pada individu itu sendiri. Ada orang suka travel solo sebab tak nak menyusahkan diri dan orang lain, ada orang suka travel ramai-ramai sebab lebih happening, ada orang suka travel dengan kawan baik dia saja.

Itu contoh, jawapan tepat dan yang paling sesuai kena tanya diri sendiri.

bukharimalek

Aku pernah travel solo, berdua, bertiga dan berkumplan. Kalau ikut pengalaman aku, ini yang boleh aku kongsikan.

Travel Berdua


Trip pertama aku keluar negara adalah ke Bangkok, Thailand dengan kawan baik aku. Aku pergi dua orang. Berdua ini seronok, tapi pastikan kau pergi dengan orang yang betul-betul kau rasa serasi. Sebabnya, semasa travel ni bukan fikir yang seronok saja. Ada kala emosi boleh terganggu, pentingnya keserasian sebab masing-masing sudah kenal perangai pasangan.

Bila ada isu, ia bukan satu masalah. Tak macam travel solo, kau ada teman nak berborak, boleh suruh tolong tangkap gambar ikut angle dan kerenah kau. Bila ada masalah, mudah nak cari jalan penyelesaian.

Bagi aku, kalau travel berdua konsep dia adalah bergantung antara satu sama lain, "kau jaga aku, aku jaga kau".


Travel Bertiga


Travel bertiga ni lebih kurang saja macam travel berdua, cuma tambah sorang saja lagi. Kos pun boleh berjimat seakan sama, kalau penginapan tu boleh kongsi satu bilik 3 orang. Bagi aku dalam travel bertiga ini, selain dari keserasian mesti kena ada seorang yang pandai sikit untuk jadi ketua. Yang bijak buat keputusan.

bukharimalek

Travel Berkumpulan


Travel berkumpulan ini ramai-ramai. Contohnya kau pergi travel ikut agensi pelancongan. Bagi aku travel berkumpulan ni mesti kena ikut kumpulan yang best, baru seronok. Sebab bila ramai ini ragam pun banyak dan pelik-pelik. Diri sendiri pun mesti pandai main peranan dan bertolak ansur.

Aku tak pernah lagi pergi travel ikut agensi pelancongan, biasanya kalau kena hantar ke luar negara untuk buat konten. Kat situ akau akan jumpa ramai dari media-media lain. Macam aku kata, kalau dapat group yang sporting memang best, tapi kalau tak itu dah jadi sebaliknya.

Bonusnya adalah, kalau berkumpulan macam ini biasanya semua itinerari dah ada yang tolong susunkan. Cuma bawa badan dan ikut saja, tak perlu fikir banyak.

Travel Solo


Travel solo lebih mencabar, kalau nak travel solo pastikan buat perancangan yang paling bagus. Dugaan travel solo ini lain sikit. Bila terjadi hal-hal yang tak diingini, kalau jiwa tak kuat akan terasa down sangat. Kau tak ada tempat untuk mengadu, yang ada adalah diri kau sendiri. Masa ini tahap pergantungan kau dengan tuhan jadi sangat tinggi.

Masa travel solo, aku pernah kena ragut, demam dan banyak hal-hal yang tak best terjadi. Selain berserah kepada nasib, perancangan yang kau buat itu yang menentukan. Kelebihan travel solo pula adalah bila kau boleh ke mana saja ikut suka hati, tak perlu tanya pendapat orang lain.

Bebas nak tukar pelan, boleh cuba ukur tahap kemampuan diri sendiri dan lain-lain. Yang tak seronok adalah kos perbelanjaan akan jadi lebih mahal.

Yang Mana Paling Seronok?


Pada aku, aku lebih suka pilih untuk travel berdua, atau bertiga sebab ada kawan nak ajak bersembang. Ramai-ramai ini aku mungkin tak berapa nak gemar, malas nak layan kerenah orang lain sebab aku tahu aku bukan jenis manusia yang semuanya betul.

Tapi apa pun, ia bergantung kepada bagaimana sikap pasangan travel kau. Kalau serasi, ajak satu kampung travel pun seronok. Kau pula suka travel macam mana?
Powered by Blogger.